Sunday, 13 January 2019

Program Kembara Aspirasi - Lawatan Kegiatan IKS di Sekinchan

Seramai hampir 40 orang peserta terdiri daripada wakil-wakil kelab usahawan serta wakil penduduk kampung-kampung dalam kawasan jajahan Parlimen Kapar, khususnya di bawah kelolaan Ahli Majlis N43A Sementa, Puan Umi Jumaina Mohamed Jan telah berpeluang menyertai suatu program lawatan ilmu 'Kembara Aspirasi' berkenaan kegiatan keusahawanan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang dibangunkan di Sekinchan. 


MPKK Sungai Pinang Bandar telah membariskan Setiausaha - Puan Siti Rahawati binti Muzir, beberapa Ketua Biro termasuklah Biro Pengurusan Kewangan - Puan Radziah binti Mat Ali, Biro Hal Ehwal Wanita & Keluarga - Puan Salinda binti Sahat, Biro Ekonomi & Keusahawanan - Encik Mohammad Sofian Piang bin Abdullah serta Biro Infostruktur & Komunikasi - Cik Aliza binti Hasan dengan disertai 5 orang lagi penduduk Kampung Sungai Pinang Bandar ke program ini.


Program bermula seawal jam 8:30 pagi dengan bertolaknya sebuah bas rombongan dari tempat berkumpul di Masjid Al-Ansar, Pekan Kapar. Para peserta dibekalkan dengan sarapan pagi dan perjalanan yang memakan masa hampir sejam setengah membawa ke hentian pertama iaitu ke Kilang Pemprosesan Nata de Coco.



Para peserta telah diberikan taklimat berkenaan penghasilan Nata de Coco yang memerlukan penjagaan rapi sepanjang proses penapaian ibu Nata yang menghasilkan Nata mentah yang mempunyai rasa masam kelat sebelum melalui proses pembersihan dan akhirnya menjadi produk pilihan digunakan dalam penyediaan hidangan minuman. Nata de Coco berasal dari Filipina. Selain daripada penerangan berkenaan Nata de Coco, para peserta juga didedahkan dengan produk minyak tropika iaitu Minyak Kelapa Dara asli yang turut diusahakan di kilang ini. Minyak Kelapa Dara asli ini dikatakan mampu mengembalikan keremajaan para pengamalnya.

Kilang ini memasarkan 6 jenis perisa Nata de Coco berlainan iaitu perisa Mangga, Nenas, Strawberi, Laici, Anggur dan Epal yang dihantar ke pasaraya-pasaraya. Harga kilang yang ditawarkan di K Shoppe Agro Bazaar untuk pembelian 3 pek Nata de Coco ini adalah RM10.90.

Hentian kedua membawa peserta ke Kilang IKS Ani Dodol yang membenarkan peserta meninjau perusahaan keluarga Puan Ani, yang merupakan seorang ibu tunggal berjaya. Kilang kecilnya mempunyai beberapa mesin kelengkapan perusahaan dodol, kerisik serta wajik termasuklah mesin pengadun, mesin pengacau dodol serta mesin pembungkusan pek vakum. Terdapat tujuh jenis perisa dodol keluaran Ani Dodol iaitu perisa Asli, Durian, Labu, Pulut Hitam, Nenas, Jagung dan Pandan. 


Hentian seterusnya membawa peserta ke kawasan rehat untuk makan tengahari di Restoran Masri yang menyajikan hidangan bufet Nasi Ayam Bakar Pasu Terlungkup.




Selesai menjamu selera, para peserta melangkah ke deretan premis bersebelahan yang menempatkan bangunan kilang perusahaan MHP Enterprise yang merupakan pengeluar produk-produk makanan jenama Agromas, produk kerepek hasilan tempatan berlabel jenama Masri dan produk bahulu panas. Para peserta telah dibawa ke Bilik Seminar untuk mendengar taklimat dan menonton video tentang kisah permulaan gerak usahawan MHP Enterprise. Jenama Masri adalah merupakan gabungan nama pengasasnya iaitu Puan Mastura dan suaminya Encik Punari.


Puan Umi Jumaina juga telah menyampaikan sepatah dua ucapan kunjungan hormat ditujukan kepada wakil MHP Enterprise di samping menyuntik semangat peserta agar memanfaatkan ilmu yang dikongsikan berkenaan cabaran yang dihadapi dalam memajukan perusahaan untuk memartabatkan produk hasilan tempatan dan diketengahkan ke dalam pasaran global. MHP Enterprise merupakan pelopor yang bertanggungjawab mengkomersilkan jenama Agromas. Antara produk berjenama Agromas yang agak laris adalah Kuah Kacang dalam bungkusan kotak.


Para peserta kemudiannya dijemput untuk melihat sendiri proses pembuatan kuih bahulu panas. Terdapat enam jenis bahulu dihasilkan di sini iaitu Bahulu Cermai, Bahulu Bunga, Bahulu Ikan Kecil, Bahulu Ikan Besar, Bahulu Pecah Lapan dan Bahulu Gulung. Meskipun bahan asas untuk penghasilan bahulu ini adalah sama tetapi disebabkan oleh teknik pembakarannya, tempoh jangka hayat bagi jenis bahulu yang berlainan adalah berbeza. Para peserta amat bertuah kerana dapat merasai kesedapan bahulu panas yang betul-betul keluar langsung daripada ketuhar pembakar. 


Para peserta juga dapat merasa kerangupan tumpi dan rempeyek serta diberikan tips penyimpanan kerepek agar tidak lemau, berbau tengik ataupun berubah warna.


Di akhir lawatan, para peserta bergembira mendapatkan produk makanan ringan yang ditawarkan di kedai jualan. MHP Enterprise juga aktif menerima tempahan cenderahati untuk majlis mengikut pakej bajet pilihan dan pelanggan diingatkan untuk membuat tempahan seawal tiga bulan untuk kelancaran urusan. Antara produk cenderahati yang mendapat tempat di kalangan pelanggan adalah pilihan kotak berisi bungkusan bahulu, produk kerepek dan kekacang.


Hentian keempat bagi program Kembara Aspirasi membawa peserta ke Kilang Beras Rakyat Sekinchan Sdn Bhd. Di sini, para peserta telah diberikan taklimat berkenaan proses penanaman padi dari peringkat pemilihan benih untuk proses semaian padi sehinggalah ke peringkat pembungkusan beras untuk pasaran pengguna. Terdapat enam jenis padi yang ditanam di sawah kepunyaan PLS Group ini termasuklah padi yang menghasilkan produk berupa beras perang, beras wangi dan beras tempatan yang digred mengikut standard. 

Beras keluaran PLS Group dijual secara eksklusif di kilang ini dan hanya memasarkan dua jenis label sahaja di pasaraya-pasaraya terpilih iaitu Beras Cap ASAS dan Beras Sekinchan Best. Untuk pilihan beras premium iaitu Beras Juara Mutiara, beras perang, beras sushi, beras wangi pandan, beras wangi keladi - kesemuanya hanya boleh didapati di sini bagi menjamin kualiti pengeluaran.



Benih padi untuk sawah PLS Group adalah jenis padi berair yang memerlukan sistem takungan yang efisien. Proses penanaman padi adalah bermusim dan dikawal rapi berpandukan teknologi moden yang mengkhususkan dari peringkat awal proses pembenihan menggunakan mesin penyediaan anak padi diikuti oleh jentera pemindahan anak semaian ke plot-plot sawah, penjagaan dan pembajaan yang sewajarnya sehinggalah ke proses tuaian. 

Mesin-mesin di kilang padi pula terlibat dalam pengasingan beras daripada sekam padi dan penggredan kualiti mengikut warna dan saiz ukuran panjang beras serta proses pembungkusan. Proses pembungkusan beras terbahagi kepada dua teknik iaitu pembungkusan biasa dan pembungkusan pek vakum. Penyimpanan beras setelah dibuka daripada pek pembungkus dan diletakkan di tempat kering boleh tahan selama tiga hingga empat bulan sebelum diserang ancaman bubuk beras manakala beras yang disimpan di dalam peti sejuk pula boleh bertahan sehingga dua tahun lamanya setelah dibuka daripada pek pembungkus.



Program Kembara Aspirasi bersurai dengan persinggahan santai ke Pantai Redang sebelum bertolak pulang ke Pekan Kapar. Semoga dengan adanya usaha sebegini akan mampu melahirkan lebih ramai lagi usahawan produk hasilan tempatan bagi kemajuan industri pelancongan dan peningkatan ekonomi.

No comments:

Post a Comment