Sunday, 24 February 2019

Program Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Bencana Ribut DUN Sementa


Sekalung penghargaan diucapkan kepada ADUN Sementa, YB Dr Daroyah binti Alwi yang telah sudi meluangkan masa beliau untuk menghadiri, seterusnya menyampaikan sumbangan kepada mangsa bencana ribut DUN Sementa. Seramai 89 orang penerima terdiri daripada penduduk kawasan DUN Sementa, termasuklah sebahagian besar daripada penduduk Kampung Sungai Pinang Bandar telah dijemput untuk menerima sumbangan peruntukan bantuan khas untuk mangsa bencana ribut.

Program bermula seawal jam 9 pagi yang melibatkan proses semakan nama dan pendaftaran penerima sumbangan yang diuruskan oleh pihak Pejabat Daerah/Tanah Klang. Sebelum itu, para penerima yang telah tiba awal ke lokasi majlis telah dihidangkan dengan sarapan pagi oleh pihak urusetia iaitu pihak MPKK Sungai Pinang Bandar selaku tuan rumah kepada program yang bertempat di Dewan MPK Sungai Pinang. Alhamdulillah, proses pendaftaran berlangsung dengan lancar dan teratur serta tidak memakan masa yang terlalu lama memandangkan komitmen serta kerjasama mantap yang diberikan oleh para penerima. Sebahagian besar penerima telah hadir sendiri yang menyaksikan jumlah kehadiran telah melangkaui 85% daripada senarai jumlah nama penerima.





Encik Mohd Azmi bin Mat Sangir merangkap Pegawai Khas kepada YB Dr Daroyah binti Alwi telah bertindak sebagai Pengerusi Majlis dengan bantuan Ketua Biro Kebajikan & Kesukarelawanan - En Musarudin bin Mohd Yusof.



Untuk memberkati perjalanan program, bacaan doa permulaan majlis telah disempurnakan oleh wakil Masjid Raudhatul Mukminin - Ustaz Hj Ustar Ali bin Akbar Ali.



Seterusnya, Penghulu Mukim Rantau Panjang - Tuan Zuraimi bin Mohaini telah memberikan kata-kata aluan serta menjelaskan peranan dan tindakan pihak Pejabat Daerah/Tanah Klang dalam usaha memulihkan keadaan selepas bencana. Penerima turut dimaklumkan secara ringkas tentang prosedur siasatan melalui siri tinjauan kerosakan serta kriteria yang menentukan skala jenis kerosakan mengikut kategori nilai kecil, sederhana dan besar. Penilaian inilah yang menjadi rujukan bagi pemerolehan peruntukan bantuan khas untuk mangsa bencana.



Majlis dilanjutkan dengan perutusan amanat daripada ADUN Sementa - YB Dr Daroyah binti Alwi yang telah berkongsi tentang kepentingan komunikasi berkesan dalam menyampaikan maklumat berkaitan untuk menangani isu kecemasan dengan segera dan cekap melalui saluran yang sepatutnya secara langsung seperti hubungkait antara MPKK Sungai Pinang Bandar, Pejabat Daerah/Tanah Klang, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa dan Pejabat Ahli Parlimen Kapar. YB Dr Daroyah binti Alwi turut menjelaskan tentang keprihatinan kerajaan negeri Selangor yang memberikan peruntukan sumbangan daripada Menteri Besar Incorporated (MBI).





Sumbangan kepada mangsa bencana ribut DUN Sementa telah disampaikan oleh YB Dr Daroyah binti Alwi dengan disaksikan oleh ketua-ketua kampung yang telah turut sama hadir.





Semoga dengan adanya usaha ini dapat mengeratkan jalinan kesefahaman di antara rakyat dan pemimpin khususnya penduduk Kampung Sungai Pinang yang sentiasa akan diberi keutamaan baik ketika kecemasan mahupun musibah yang melanda tanpa dijangka seperti bencana ribut ini.


1 comment:

  1. Di ucapkan beribu terimakasih di atas segala sumbangan bantuan ribut... Ea amat membantu kami

    ReplyDelete