Sunday, 23 December 2018

Program Peranan Komuniti bersama-sama MPK dalam Gerak Gempur Menangani Wabak Denggi di Klang

Pada petang 23hb Disember 2018, lanjutan daripada program sumbangan kit racun serangga daripada DUN Bandar Baru Klang, wakil MPKK Sungai Pinang Bandar - Puan Siti Rahawati binti Muzir telah menghadirkan diri ke Program Peranan Komuniti bersama-sama MPK dalam Gerak Gempur Menangani Wabak Denggi di Klang. Program ini telah diselaraskan oleh Puan Umi Jumaina binti Mohamed Jan dan Puan Ngian Yoke Mooi yang merupakan Ahli-ahli Majlis MPK.



Program yang diadakan di Restoran Smugglers' Inn, Royal Klang Club ini membincangkan topik-topik berikut:
  1. Kawasan Tarikan Pelancongan di Klang
  2. Tanggungjawab masyarakat di dalam Menjaga Alam Sekitar melalui Amalan Kitar Semula
  3. Peranan PDRM bersama-sama Komuniti dalam Mengawal Jenayah di dalam Kawasan Perumahan
  4. Peranan Komuniti bersama-sama MPK dalam Gerak Gempur Menangani Wabak Denggi di Klang
  5. Apa itu Aedes dan Denggi, dan Langkah-langkah Pencegahannya

Semoga dengan wujudnya perkongsian ilmu dan kerjasama erat di antara MPKK Sungai Pinang Bandar dengan badan-badan berkaitan akan mampu bersama-sama menaikkan nama bandar Klang sebagai sebuah bandar yang pesat membangun dan disegani.

Majlis Kempen Banteras Denggi DUN Bandar Baru Klang

Pada 23hb Disember 2018, bertempat di Dewan Kejora, Sekolah Kebangsaan Batu Belah telah diadakan Majlis Kempen Banteras Denggi dianjurkan oleh YB Dato' Teng Chang Khim dan DUN Bandar Baru Klang. Sebahagian kawasan Kampung Sungai Pinang Bandar yang merupakan antara kawasan tadbir DUN Bandar Baru Klang turut dikenalpasti sebagai kawasan cenderung serangan penularan wabak denggi. 

Majlis ringkas bermula seawal pukul 8:30 pagi ini memberi tumpuan kepada pembentangan berkaitan kepentingan menjaga persekitaran dan tanggungjawab mencegah pembiakan nyamuk aedes. 




MPKK Sungai Pinang Bandar telah diwakili oleh Puan Siti Rahawati binti Muzir, Encik Mohamed Hir bin Mat, Encik Mohammad Sofian Piang bin Abdullah serta Puan Sharifah binti Mohamad Hanibah. Setiap wakil komuniti telah dibekalkan dengan sepanduk kempen dan kit racun serangga BV2 OEW bertujuan untuk menghapuskan jentik-jentik dalam bekas takungan air.




Semoga dengan adanya langkah-langkah pencegahan yang lebih proaktif dan efektif ini membantu dalam mengawal kesejahteraan penduduk Kampung Sungai Pinang Bandar.

Program Kembali ke Sekolah bersama YB Dr Daroyah Alwi

Pada 22hb Disember 2018, sebahagian warga penduduk Kampung Sungai Pinang Bandar yang merupakan keluarga terpilih telah hadir untuk menerima sumbangan berupa baucer bernilai RM 100 untuk pembelian peralatan kelengkapan sekolah di Pusat Pakaian Hari-Hari cawangan Pekan Kapar sempena Program Kembali ke Sekolah bersama YB Dr Daroyah Alwi

Majlis penyerahan sumbangan anjuran Pusat Khidmat DUN Sementa ini telah berlangsung dari pukul 8 pagi sehingga 2 petang di pekarangan premis membeli-belah tersebut yang menyaksikan para ibu bapa dan anak-anak berbelanja melengkapkan kelengkapan terutamanya untuk pembelian baju seragam sekolah. 




Semoga program seumpama ini berjaya memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk lebih tekun belajar sepanjang menempuh alam persekolahan.

Thursday, 20 December 2018

Majlis Ramah Mesra Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Pinang Bandar bersama YB Dr Daroyah Alwi dan Tuan Zuraimi bin Mohaini

Pada malam 19hb Disember 2018, telah berlangsungnya Majlis Ramah Mesra Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Pinang Bandar bersama YB Dr Daroyah Alwi dan Tuan Zuraimi bin Mohaini. Majlis ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan barisan lantikan Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Pinang Bandar yang telah diberi mandat untuk berbakti kepada warga komuniti Kampung Sungai Pinang Bandar bagi sesi 2018 - 2020. 

Majlis santai dan ringkas ini telah diadakan di Balairaya MPKK Kampung Sungai Pinang Bandar, Dewan Sungai Pinang dan dipengerusikan oleh Ketua Biro Pemantapan Spiritual - Ustaz Ahmad Fuad bin Abu memandangkan Pengerusi MPKK iaitu Encik Hamdan bin Haji Yusof masih lagi berehat atas faktor kesihatan.

Tuan Zuraimi bin Mohaini yang merupakan Penghulu Mukim Rantau Panjang telah memberikan ucapan pembukaan dengan melahirkan penghargaan buat wakil MPKK yang telah turut sama turun padang menangani isu-isu tindakan segera sewaktu Kampung Sungai Pinang ditimpa musibah bencana ribut pada 1hb Oktober yang lalu. Nilai dan jasa setiap wakil MPKK ketika itu sesungguhnya harus dicontohi memandangkan tindakan bantuan yang diberikan adalah masih di luar bidang kuasa kerana lantikan MPKK masih belum disahkan. Sikap amanah, ikhlas dan bertanggungjawab ini diharapkan akan terus tersemat dalam sanubari setiap ahli MPKK Sungai Pinang Bandar.



YB Dr Daroyah Alwi selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa pula telah berkongsi amanat dan aspirasi berkenaan penjajaran semula Inisiatif Peduli Rakyat serta mengalu-alukan cadangan serta menyatakan kesediaan beliau untuk bersama-sama melancarkan sebarang urusan pentadbiran komuniti Kampung Sungai Pinang Bandar. 



Antara topik perbincangan adalah berkenaan pembahagian kawasan tadbir Kampung Sungai Pinang Bandar di antara dua kawasan DUN iaitu sebahagiannya DUN Sementa dan sebahagian lagi DUN Bandar Baru Klang, tugas yang dipikul oleh setiap Ketua Biro yang perlu diselaraskan untuk bersama-sama mendokong MPKK Sungai Pinang Bandar secara keseluruhan dan mengelakkan situasi 'one man show' iaitu rujukan setiap isu hanya tertumpu kepada tindak-tanduk Ketua Kampung secara bersendirian, pengagihan setiap ahli MPKK mengikut demografi agar setiap kawasan tadbir Kampung Sungai Pinang Bandar berjaya dikawal selia, kepentingan dan keperluan saluran komunikasi yang interaktif di antara warga komuniti Kampung Sungai Pinang Bandar dan beberapa lagi isu berbangkit.

Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Pinang Bandar bergambar bersama ADUN Sementa - YB Dr Daroyah Alwi dan Penghulu Mukim Rantau Panjang - Tuan Zuraimi bin Mohaini.

Majlis Ramah Mesra ini turut disempurnakan dengan pemberian fail tugasan kepada setiap Ketua Biro MPKK Sungai Pinang Bandar yang hadir.


Setiausaha - Puan Siti Rahawati binti Muzir


Ketua Biro Pengurusan Kewangan - Puan Radziah binti Mat Ali


Ketua Biro Pembangunan Prasarana - Encik Mohamed Hir bin Mat


Ketua Biro Pemantapan Spiritual - Ustaz Ahmad Fuad bin Abu


Ketua Biro Kebajikan & Kesukarelawanan - Encik Musarudin bin Mohd Yusof


Ketua Biro Ekonomi & Keusahawanan - Encik Mohammad Sofian Piang bin Abdullah


Ketua Biro Infostruktur & Komunikasi - Cik Aliza binti Hasan


Ketua Biro Kesejahteraan & Keceriaan - Puan Sharifah binti Mohd Hanibah


Ketua Biro Pendidikan & Inovasi - Encik Ahmad Lutfi bin Ahmad Fuad


Ketua Biro Belia, Sukan & NGO - Encik Nor Azlan bin Hamdan

Program Kolaborasi Strategik Seminar Pembudayaan ICT dan Pematuhan Keselamatan ICT bersama Agensi Kerajaan dan Swasta/NGO/Persatuan Daerah Klang

Pada 19hb Disember 2018, pihak Jabatan Teknologi Maklumat Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menganjurkan Program Kolaborasi Strategik Seminar Pembudayaan ICT dan Pematuhan Keselamatan ICT bersama Agensi Kerajaan dan Swasta/NGO/Persatuan Daerah Klang. Program separuh hari bertempat di Auditorium Raja Ismail, Majlis Perbandaran Klang ini telah dihadiri oleh wakil-wakil MPKK sekitar Daerah Klang. 

Program ini mendedahkan peserta kepada perancangan pembudayaan ICT dalam meningkatkan tahap pengurusan pentadbiran MPKK masing-masing di era teknologi sekarang ini. MPKK Sungai Pinang Bandar telah diwakili oleh Setiausaha MPKK Sungai Pinang Bandar - Puan Siti Rahawati binti Muzir.


Pembentangan-pembentangan sepanjang program pula banyak menekankan tentang kepentingan setiap ahli MPKK menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti, bersikap jujur dan amanah pada setiap ketika.


Diharapkan dengan adanya program seumpama ini mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang saling berkait di antara pihak MPKK dan pihak berwajib yang terlibat.

Saturday, 15 December 2018

Majlis Sumbangan Bantuan Persekolahan Sesi Tahun 2019 untuk Anak-anak Yatim Ahli Kariah Masjid Raudhatul Mukminin

Pada malam 13hb Disember 2018 usai solat Isya' berjemaah, telah diadakan suatu majlis ringkas - Majlis Sumbangan Bantuan Persekolahan Sesi Tahun 2019 untuk Anak-anak Yatim Ahli Kariah Masjid Raudhatul Mukminin. Senarai penerima terdiri daripada 22 keluarga ahli kariah Masjid Raudhatul Mukminin yang layak. Sumbangan berupa wang perbelanjaan untuk bantuan persekolahan anak-anak yatim ini telah diserahkan oleh wakil ahli jawatankuasa Masjid Raudhatul Mukminin kepada penjaga yang bertanggungjawab. Semoga dengan adanya bantuan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan urusan persekolahan anak-anak ahli kariah.







Kursus Pemantapan Ketua Kampung Tradisi / Pengerusi MPKK Daerah Klang 2018

Pada 12hb dan 13hb Disember yang lalu, di bawah kelolaan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, telah diadakan Kursus Pemantapan Ketua Kampung Tradisi / Pengerusi MPKK Daerah Klang 2018 bertempat di Seraya Ballroom, Accapella Suite Hotel, Seksyen 13, Shah Alam. Kursus ini melibatkan penyertaan semua Ketua Kampung Tradisi selaku Pengerusi MPKK masing-masing. MPKK Sungai Pinang Bandar telah diwakili oleh Ketua Biro Ekonomi & Keusahawanan - Encik Mohammad Sofian Piang bin Abdullah.



Hari pertama program dipenuhi dengan pembentangan taklimat-taklimat berkaitan:
  1. Tanggungjawab, Peranan dan Tugas Ketua Kampung
  2. Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)
  3. Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional (SPKPN)
  4. Garis Panduan - Dasar dan Peraturan Mengenai Perlantikan & Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi



Program pada hari kedua diteruskan dengan aktiviti Berfikiran secara Kreatif serta pengenalan kepada Kempen 'Kitakan Sekampung'.



Kempen #kitakan sekampung bertujuan memupuk semangat kekitaan dan mengelakkan pergaduhan dalam masyarakat. Selain itu, ia juga menerapkan sifat jati diri agar kita tidak lupa asal usul kita.



Kemuncak program adalah penyampaian ucapan dan amanat khusus daripada Yang Berhormat Puan Hajjah Rodziah binti Ismail yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi. Beliau telah menyatakan hasrat agar setiap wakil MPKK yang dilantik akan berusaha sehabis baik menyumbang bakti dan memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab demi kemajuan kampung ke peringkat yang lebih membanggakan. 

Ucapan dan amanat daripada YB Puan Hajjah Rodziah binti Ismail
 


Tuesday, 11 December 2018

Majlis Jamuan Teh Diraja Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor

Pada 11hb Disember 2018, telah berlangsungnya upacara Majlis Jamuan Teh Diraja Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang ke-73 tahun bertempat di pekarangan Padang Mahkota, Istana Alam Shah, Klang. Baginda turut ditemani oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin Abdul Rahman serta DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.


Kampung Sungai Pinang Bandar telah diwakili oleh 5 orang ahli jawatankuasa: Encik Musarudin bin Mohd Yusof, Encik Mohd Marsiti bin Ilham, Puan Siti Rahawati binti Muzir, Encik Mohammad Sofian Piang bin Abdullah dan Cik Aliza binti Hasan.




Antara bait-bait titah pesanan baginda termasuklah mengingatkan rakyat jelata agar mendukung isi Perlembagaan Negara dan tidak sekali-kali terlibat dengan sebarang isu sensitif yang boleh mengundang ancaman kepada perpaduan kaum. Baginda turut memanjatkan kesyukuran di atas nikmat kurnia usia serta kesihatan yang baik dan berharap setiap rakyat jelata terus berusaha sebaik-baiknya demi kemakmuran dan kemajuan negeri Selangor.





Daulat Tuanku!