Thursday, 20 December 2018

Majlis Ramah Mesra Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Pinang Bandar bersama YB Dr Daroyah Alwi dan Tuan Zuraimi bin Mohaini

Pada malam 19hb Disember 2018, telah berlangsungnya Majlis Ramah Mesra Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Pinang Bandar bersama YB Dr Daroyah Alwi dan Tuan Zuraimi bin Mohaini. Majlis ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan barisan lantikan Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Pinang Bandar yang telah diberi mandat untuk berbakti kepada warga komuniti Kampung Sungai Pinang Bandar bagi sesi 2018 - 2020. 

Majlis santai dan ringkas ini telah diadakan di Balairaya MPKK Kampung Sungai Pinang Bandar, Dewan Sungai Pinang dan dipengerusikan oleh Ketua Biro Pemantapan Spiritual - Ustaz Ahmad Fuad bin Abu memandangkan Pengerusi MPKK iaitu Encik Hamdan bin Haji Yusof masih lagi berehat atas faktor kesihatan.

Tuan Zuraimi bin Mohaini yang merupakan Penghulu Mukim Rantau Panjang telah memberikan ucapan pembukaan dengan melahirkan penghargaan buat wakil MPKK yang telah turut sama turun padang menangani isu-isu tindakan segera sewaktu Kampung Sungai Pinang ditimpa musibah bencana ribut pada 1hb Oktober yang lalu. Nilai dan jasa setiap wakil MPKK ketika itu sesungguhnya harus dicontohi memandangkan tindakan bantuan yang diberikan adalah masih di luar bidang kuasa kerana lantikan MPKK masih belum disahkan. Sikap amanah, ikhlas dan bertanggungjawab ini diharapkan akan terus tersemat dalam sanubari setiap ahli MPKK Sungai Pinang Bandar.



YB Dr Daroyah Alwi selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa pula telah berkongsi amanat dan aspirasi berkenaan penjajaran semula Inisiatif Peduli Rakyat serta mengalu-alukan cadangan serta menyatakan kesediaan beliau untuk bersama-sama melancarkan sebarang urusan pentadbiran komuniti Kampung Sungai Pinang Bandar. 



Antara topik perbincangan adalah berkenaan pembahagian kawasan tadbir Kampung Sungai Pinang Bandar di antara dua kawasan DUN iaitu sebahagiannya DUN Sementa dan sebahagian lagi DUN Bandar Baru Klang, tugas yang dipikul oleh setiap Ketua Biro yang perlu diselaraskan untuk bersama-sama mendokong MPKK Sungai Pinang Bandar secara keseluruhan dan mengelakkan situasi 'one man show' iaitu rujukan setiap isu hanya tertumpu kepada tindak-tanduk Ketua Kampung secara bersendirian, pengagihan setiap ahli MPKK mengikut demografi agar setiap kawasan tadbir Kampung Sungai Pinang Bandar berjaya dikawal selia, kepentingan dan keperluan saluran komunikasi yang interaktif di antara warga komuniti Kampung Sungai Pinang Bandar dan beberapa lagi isu berbangkit.

Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Pinang Bandar bergambar bersama ADUN Sementa - YB Dr Daroyah Alwi dan Penghulu Mukim Rantau Panjang - Tuan Zuraimi bin Mohaini.

Majlis Ramah Mesra ini turut disempurnakan dengan pemberian fail tugasan kepada setiap Ketua Biro MPKK Sungai Pinang Bandar yang hadir.


Setiausaha - Puan Siti Rahawati binti Muzir


Ketua Biro Pengurusan Kewangan - Puan Radziah binti Mat Ali


Ketua Biro Pembangunan Prasarana - Encik Mohamed Hir bin Mat


Ketua Biro Pemantapan Spiritual - Ustaz Ahmad Fuad bin Abu


Ketua Biro Kebajikan & Kesukarelawanan - Encik Musarudin bin Mohd Yusof


Ketua Biro Ekonomi & Keusahawanan - Encik Mohammad Sofian Piang bin Abdullah


Ketua Biro Infostruktur & Komunikasi - Cik Aliza binti Hasan


Ketua Biro Kesejahteraan & Keceriaan - Puan Sharifah binti Mohd Hanibah


Ketua Biro Pendidikan & Inovasi - Encik Ahmad Lutfi bin Ahmad Fuad


Ketua Biro Belia, Sukan & NGO - Encik Nor Azlan bin Hamdan

No comments:

Post a Comment